KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Pahang meneruskan usaha memperkukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan melalui penyertaan dalam Selangor International Business Summit (SIBS) 2026, dengan memfokuskan kerjasama strategik, pembangunan wilayah dan penerokaan sektor ekonomi bernilai tinggi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyertaan melalui inisiatif Invest Pahang membuka ruang kepada kerjasama antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), pemain industri dan pelabur tempatan serta antarabangsa.
Atas dasar itu, kata beliau, sebanyak 12 perjanjian pelaburan dimeterai menerusi pentas tersebut melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM421 juta.
"Tahun ini, Pahang memberi penekanan kepada pembangunan Pahang Barat, di samping terus memanfaatkan potensi Pahang Timur dalam sektor perindustrian, pelabuhan, perdagangan dan logistik.
"Pahang Barat pula berpotensi berkembang dalam sektor pembangunan bandar, pelancongan, pertanian moden dan industri.
"Bagi saya, kedua-dua wilayah perlu dibangunkan secara seimbang dan saling melengkapi bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih menyeluruh, selaras Aspirasi Pahang 1st," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan alu-aluan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di SIBS 2026, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Penyertaan Pahang di SIBS 2026 turut merangkumi cadangan kerjasama dalam sektor teknologi digital, tenaga, perindustrian, pendidikan, perumahan dan pelancongan.
Antaranya cadangan pembangunan perkhidmatan kolokasi pusat data di Pahang Technology Park, Gambang oleh PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn Bhd bersama Dayanex Al Sdn Bhd serta pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) bersepadu melalui kerjasama PKNP dengan Microfits Advanced Energy Technologies Sdn Bhd.
Di kawasan perindustrian Tanjung Agas, Pekan pula, cadangan kerjasama melibatkan pembangunan infrastruktur digital, perindustrian pintar, industri pembuatan dan pusat data.
Dalam konteks pembangunan modal insan, UCYP University bersama Cornell Leadership Academy akan meneroka kerjasama dalam industri halal, pelancongan dan hospitaliti, manakala YP Advanced Skills bersama Cornell Leadership Academy memberi tumpuan kepada latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kerjasama antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dengan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad bertujuan memudahkan akses pembiayaan di bawah skim perumahan kerajaan negeri.
Bagi sektor pelancongan, cadangan pembangunan semula Resort Mutiara Taman Negara turut diteroka bersama Tradewinds Corporation Berhad.
Kerajaan Negeri Pahang turut memperkasakan pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi mempercepat pembangunan melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan modal.
Antara kerjasama yang diteroka termasuk sektor eko-pelancongan bersama Tradewinds Corporation Berhad serta promosi King's Park Genting Highlands sebagai destinasi mesra Muslim.
Dalam sektor berteknologi tinggi, Pahang Aerospace City (PAC) merupakan antara inisiatif strategik yang berpotensi menarik pelaburan berkualiti dalam bidang aeroangkasa, penerbangan, mobiliti maju, pusat data, teknologi digital dan logistik.
Wan Rosdy dalam masa sama berpandangan, semua perancangan perlu dilaksanakan secara tersusun dan berdaya maju, di samping membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat anak tempatan.
Justeru, tambahnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu memudah cara urusan pelabur melalui penyelarasan antara agensi serta penyelesaian isu berkaitan tapak dan infrastruktur, tertakluk peraturan yang berkuat kuasa.
"Keutamaan ketika ini adalah menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memperkukuhkan perusahaan tempatan dan membawa masuk teknologi baharu ke Pahang," ujar beliau.