Dua pelajar mengaku kekasih ditahan curi motosikal

Iklan
Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan adegan curi motosikal membabitkan dua remaja yang dikongsi di media sosial.

SUNGAI SIPUT - Dua pelajar masing-masing berusia 16 dan 17 tahun ditahan polis selepas disyaki mencuri sebuah motosikal di hadapan sebuah stesen minyak di Salak Bharu di sini, Rabu lalu.

Kedua-dua suspek dipercayai pasangan kekasih itu ditahan dalam serbuan di dua rumah di Kuala Kangsar kira-kira jam 12.05 malam pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 malam ketika pemilik motosikal berusia 42 tahun berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Menurutnya, mangsa menyedari motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru gelap yang diletakkan di hadapan stesen minyak itu hilang selepas selesai urusannya.

Iklan

"Mangsa kemudian mencari motosikal berkenaan di sekitar kawasan itu, namun gagal menemuinya sebelum mengesyaki kenderaan itu dicuri.

"Siasatan mendapati mangsa meninggalkan motosikal itu dalam keadaan tidak berkunci ketika pergi ke mesin ATM," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, serbuan di dua rumah terbabit berjaya merampas motosikal Honda EX5 milik mangsa bersama beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135, dua topi keledar, pakaian serta segugus kunci motosikal dalam serbuan berkenaan bagi membantu siasatan.

"Hasil soal siasat mendapati suspek lelaki mengaku membawa teman wanitanya ke stesen minyak berkenaan sebelum perempuan itu turun dan mengambil motosikal milik mangsa.

"Kedua-dua suspek kemudian dipercayai pulang ke Kuala Kangsar dengan membawa motosikal terbabit," katanya.

Charan berkata, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua remaja berkenaan didapati negatif.

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Kejadian itu tular selepas satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan adegan curi motosikal membabitkan dua individu, dikongsi di media sosial.