Akta Pengangkutan Jalan (pindaan) 2026 berkuat kuasa hari ini - MOT

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] berkuat kuasa hari ini, melibatkan peruntukan baharu bagi membanteras lumba haram dan kegiatan tonto selain memperkukuh penguatkuasaan serta pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan akta yang mengandungi 42 fasal pindaan itu sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh penguatkuasaan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan JPJ.

Iklan
Iklan

Di bawah seksyen itu, pesalah boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya bagi sabitan kali pertama manakala bagi sabitan kedua atau seterusnya ialah denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Iklan

Selain itu, MOT memaklumkan akta itu turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi.

"Pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya. Kesalahan ini turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap,” menurut kenyataan itu.

Iklan

MOT memaklumkan pindaan lain ialah memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar bagi kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan termasuk sistem penguatkuasaan automatik.

"Pindaan ini bertujuan menutup kelompongan undang-undang yang boleh menyebabkan pihak tertentu mengelak tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan menggunakan kenderaan mereka,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan pindaan itu juga memperkukuh asas perundangan bagi penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis elektronik serta membuka ruang kepada pelaporan kemalangan secara digital mengikut tatacara yang ditetapkan.

Selain itu, kawal selia keselamatan kenderaan elektrik, kenderaan yang diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti turut diperkemas.

"MOT percaya pelaksanaan pindaan Akta 333 akan memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang membahayakan keselamatan jalan raya dan memudahkan urusan rakyat melalui penggunaan teknologi serta perkhidmatan digital,” menurut kenyataan itu.

MOT juga memaklumkan pelaksanaan peningkatan had maksimum kompaun bagi kesalahan boleh dikompaun daripada tidak melebihi RM300 kepada tidak melebihi RM500 akan dilaksanakan bermula 1 Jan 2029 bagi memberikan tempoh peralihan yang mencukupi kepada pengguna jalan raya.

"MOT ingin menjelaskan peningkatan had maksimum kompaun itu tidak bermaksud semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun sebanyak RM500 secara automatik. Amaun kompaun yang ditawarkan adalah tertakluk kepada jenis kesalahan serta kaedah yang ditetapkan di bawah Akta 333.

"Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan memberikan kesan pencegahan yang lebih berkesan, bukannya untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan,” menurut kenyataan itu.- Bernama