JOHOR BAHRU – Seramai 73 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sekitar bandar raya ini pada Rabu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 3 petang itu menyasarkan beberapa premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan warga asing termasuk kedai telefon bimbit, pusat urut dan restoran masakan tomyam.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati semua warga asing terbabit disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Pemeriksaan terperinci dijalankan meliputi pengesahan identiti serta semakan dokumen perjalanan, pas dan permit bagi memastikan setiap individu mematuhi syarat kemasukan, keberadaan dan aktiviti yang dibenarkan sepanjang berada di Malaysia.
“Dua warga tempatan yang dipercayai merupakan pengurus premis terbabit turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, warga Indonesia mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 34 orang terdiri daripada 12 lelaki dan 22 wanita.
Mereka diikuti warga Thailand seramai 17 orang membabitkan 11 lelaki dan enam wanita serta warga Myanmar seramai 14 orang terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita.
Turut ditahan ialah dua lelaki warga Sudan, seorang lelaki warga Filipina, seorang lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga China dan dua wanita warga Vietnam.
Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan dipercayai bekerja di premis-premis terbabit.
Mohd Rusdi berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan strategik bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Menurutnya, semua tahanan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebanyak lapan Borang 29, iaitu saman kepada saksi, turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen bagi membantu pihak berkuasa memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.