IPOH - Sekretariat Perantis Wanita Muda mengesyorkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi 2027 dipetakan menerusi pendekatan Bajet Responsif Gender.
Penyelaras Sekretariat Perantis Wanita Muda, Tina Tajuddin berkata, cadangan itu melibatkan anggaran RM4.59 bilion daripada keseluruhan perbelanjaan RM459 bilion dalam Belanjawan Madani 2027.
Menurutnya, cadangan berkenaan bukan bertujuan memohon peruntukan tambahan atau mewujudkan peruntukan baharu, sebaliknya menekankan aspek penyelarasan, ketelusan dan penilaian keberkesanan perbelanjaan sedia ada terhadap golongan wanita.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan memorandum Aspirasi Wanita Muda sempena Belanjawan Madani 2027 kepada Pengarah Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Perak, S Kavaramma di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.
Tina berkata, memorandum itu disediakan berdasarkan konsultasi dan pengumpulan cadangan daripada 30 pencadang menerusi borang konsultasi aspirasi wanita muda secara dalam talian.
Menurutnya, inisiatif berkenaan digerakkan Sekretariat Perantis Wanita Muda yang terdiri daripada peserta Program Latihan Kepimpinan, Komuniti dan Penglibatan Politik Wanita Muda Malaysia (Perantis) 2026 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita.
"Kita harap memorandum ini dipanjangkan kepada KPWKM untuk perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta dipertimbangkan melalui saluran bersesuaian, termasuk Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat di Parlimen," katanya.
Beliau berkata, wanita muda yang dianggarkan merangkumi hampir 25 peratus daripada populasi wanita di Malaysia, atau sekitar empat hingga lima juta orang, memerlukan sokongan sewajarnya bagi meningkatkan penyertaan dalam ekonomi negara.
Katanya, usaha memperluas peluang ekonomi kepada wanita muda bukan sahaja dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Kita mahu pelaksanaan Bajet Responsif Gender ini disertakan pelaporan yang lebih jelas dan menyeluruh supaya keberkesanan peruntukan dapat dinilai berdasarkan manfaat yang diterima golongan wanita," katanya.
Sementara itu, Kavaramma berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada ibu pejabat Jabatan Pembangunan Wanita untuk tindakan selanjutnya.
"Kami menerima baik inisiatif ini dan berharap cadangan dikemukakan dapat diperhalusi dan diperluaskan bagi memperkukuh pelaksanaan program pembangunan wanita, khususnya di Perak," katanya.