SENAWANG - Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat baju suaminya berlumuran darah selepas lelaki itu cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dua treler di susur keluar Senawang, Negeri Sembilan, pada Khamis.
Lebih memilukan, wanita itu turut menerima khabar bahawa rakan sekerja suaminya maut dalam nahas berkenaan.
Menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @ayumeyz, wanita itu berkata, kebiasaannya suaminya yang dipanggil 'dadi' akan pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi.
"Allahuakbar, sumpah aku tak kuat," tulisnya.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota JPJ maut manakala empat lagi mangsa cedera dalam kemalangan berkenaan.
Komander Operasi Kanan Zon Port Dickson, Penguasa Bomba Ahmad Shukri Hashim dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.55 malam.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.19 malam sebelum operasi menyelamat dimulakan dua minit kemudian.
Dalam kejadian itu, seorang anggota JPJ yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika anggota JPJ terbabit menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di lorong kecemasan sebelum sebuah lagi treler dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan JPJ dan lori berkenaan.
Sementara itu, wanita berkenaan turut membayangkan trauma yang mungkin dialami suaminya selepas menyaksikan rakan sekerjanya meninggal dunia dalam kejadian itu.
"Allahuakbar, dugaan apa ini ya ALLAH. Mesti dadi trauma sahabat dadi meninggal betul-betul sebelah dadi kan. Tak terbayang kalau dadi ada dalam kereta masa itu.
"Alhamdulillah ALLAH masih lindungi dadi lagi," katanya.
Wanita itu turut memohon orang ramai menyedekahkan al-Fatihah buat rakan sekerja suaminya yang dikenali sebagai Abang Azrul atau Scoby, selain mendoakan agar suaminya segera sembuh.
"Sedekah al-Fatihah buat sahabat suami saya dan doakan semoga suami saya cepat sembuh," katanya.
Difahamkan, suaminya mengalami patah kaki akibat kemalangan berkenaan.