Kutipan dana kes Zara Qairina hanya RM200,000, bukan jutaan ringgit - Peguam

Iklan
Pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pasukan peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tampil menjelaskan bahawa jumlah kutipan dana berkaitan kes berkenaan hanya sekitar RM200,000 dan bukannya mencecah jutaan ringgit.

Peguam, Shahlan Jufri berkata, penjelasan itu dibuat susulan masih terdapat pihak yang membangkitkan persoalan mengenai dana berkenaan walaupun jumlah kutipan telah diumumkan oleh Senator Marhamah Rosli pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Secara ringkasnya, jumlah kutipan hanya RM200,000 lebih sahaja, bukan RM1 juta atau RM2 juta dan dana tersebut juga telah diaudit," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Menurut Shahlan, pihak anak guam bersama pasukan peguam telah melantik akauntan bertauliah bebas bagi menjalankan audit terhadap dana berkenaan.

Iklan

"Audit itu telah siap pada April tahun ini dan yang penting, dana tersebut telah pun diaudit," katanya.

Shahlan turut menegaskan bahawa dana yang dikumpul itu dikhususkan sepenuhnya bagi tujuan prosiding inkues kematian Zara Qairina dan tidak digunakan untuk perbelanjaan lain, termasuk pembayaran yuran guaman.

Iklan

"Pihak peguam menjalankan tugas secara pro bono dan tidak ada satu sen pun daripada dana tersebut digunakan untuk yuran guaman atau kos guaman," katanya.

Shahlan berkata, pihaknya dan anak guam juga tidak mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untuk mendedahkan laporan audit berkenaan kepada orang ramai.

"Tidak ada keperluan dari segi undang-undang bagi pihak kami atau anak guam untuk mengemukakan laporan audit itu kepada khalayak ramai.

"Apa yang paling penting untuk diketahui ialah dana tersebut hanya digunakan bagi tujuan inkues ini," katanya.

Shahlan bersama pasukannya, yang terdiri daripada Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James, mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, dalam prosiding inkues berkenaan.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan bawah asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.