Inkues Zara Qairina selesai, lebih 5,000 muka surat nota prosiding perlu diteliti - Peguam

Iklan
Shahlan ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pasukan peguam yang mewakili pihak berkepentingan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir perlu meneliti lebih 5,000 muka surat nota prosiding membabitkan keterangan 83 saksi dan kira-kira 350 eksibit sebelum mengemukakan penghujahan bertulis selewat-lewatnya pada 15 Disember ini.

Peguam, Shahlan Jufri berkata, penelitian itu perlu dilakukan selepas prosiding inkues berakhir pada Rabu lalu, selepas berlangsung selama 96 hari di Mahkamah Koroner.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mahkamah pada Jumaat menetapkan arahan berkaitan penghujahan bertulis yang perlu dikemukakan semua pihak sebelum keputusan inkues disampaikan pada 15 Januari 2027.

"Hari ini mahkamah menetapkan sebutan selepas prosiding inkues selesai pada Rabu lalu dengan 83 saksi serta sebanyak 350 eksibit termasuk dokumen yang telah dikemukakan di mahkamah.

Iklan

"Sebentar tadi, Hakim Koroner telah memberikan arahan berhubung penghujahan bertulis yang perlu dikemukakan oleh semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.

Shahlan berkata, Koroner Amir Shah turut meminta semua pihak membantu mahkamah meneliti sebarang percanggahan keterangan antara saksi, bukti yang dikemukakan serta gambaran keseluruhan lawatan ke sekolah berkenaan.

Iklan

Menurutnya, penghujahan bertulis itu juga perlu merangkumi pandangan mengenai langkah penambahbaikan dalam pengendalian inkues, termasuk aspek berkaitan sekolah dan siasatan.

"Hakim Koroner juga memerlukan pandangan semua pihak termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan peguam yang terlibat mengenai cadangan penambahbaikan prosiding inkues, berkaitan sekolah, siasatan dan semua itu perlu dimasukkan dalam penghujahan bertulis," katanya.

Mengulas lanjut, Shahlan berkata, pasukannya mempunyai tempoh kira-kira dua bulan untuk meneliti semula keseluruhan keterangan termasuk percanggahan yang timbul dalam kalangan saksi kanak-kanak serta pandangan beberapa pakar yang memberikan keterangan sepanjang prosiding.

"Kita perlu menilai semula, melihat kembali nota prosiding yang mempunyai lebih 5,000 muka surat kerana terdapat beberapa percanggahan.

"Kita juga perlu melihat pendapat pakar termasuk pakar psikiatri dan pakar tulisan tangan serta memasukkan semua perkara itu dalam penghujahan bertulis nanti," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan perjalanan inkues selama 96 hari sebagai lancar meskipun bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila prosiding berkenaan berlangsung serentak dengan perbicaraan membabitkan lima tertuduh di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

"Syukur alhamdulillah, prosiding berjalan dengan lancar. Saya percaya 96 hari bukanlah sesuatu yang mudah dan inkues ini agak cepat dalam sejarah Malaysia.

"Perlu diingatkan inkues ini berjalan serentak dengan perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak dan terdapat banyak perkara yang perlu kami huraikan dalam penghujahan bertulis nanti.

"Kami berharap keputusan yang dibuat nanti adalah adil kepada semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, Shahlan turut memaklumkan bahawa ibu Allahyarham Zara Qairina, Noraidah Lamat, ada menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp pada pagi Jumaat berhubung perjalanan kes berkenaan.

"Dia mendoakan semoga semuanya dipermudahkan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang membuat liputan sejak September tahun lalu kerana melaporkan prosiding inkues ini dengan tepat dan cepat," katanya.

Sementara itu, peguam mewakili pelajar A yang dikaitkan dalam kes Zara Qairina, Joan Goh berharap semua keterangan yang dikemukakan diberikan perhatian dan pertimbangan sewajarnya.

Joan ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

"Kami berharap tidak akan timbul sebarang spekulasi atau tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak.

"Walau apa pun kita perlu mengakui bahawa kejadian ini merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan. Ia bukan sahaja tragedi kepada Allahyarham Zara Qairina, malah turut memberikan kesan kepada kanak-kanak yang dituduh dalam kes ini kerana kehidupan mereka juga terjejas akibat kejadian tersebut," katanya.

Beliau berkata, pasukannya menghormati sepenuhnya keprihatinan masyarakat dan hasrat orang ramai untuk melihat keadilan ditegakkan, namun hak, kebajikan dan masa depan kanak-kanak yang terlibat juga perlu dilindungi.

"Keadilan mestilah berpandukan keterangan dan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya dipengaruhi sentimen masyarakat atau spekulasi.

"Kami berharap semua pihak akan menghormati proses kehakiman, mengelakkan daripada membuat spekulasi lanjut serta memberikan peluang kepada kanak-kanak yang terlibat untuk meneruskan kehidupan mereka," katanya.