Istana Garuda IKN hampir 'hilang' ditelan jerebu

Iklan
Istana Garuda di IKN kelihatan samar-samar tatkala jerebu melanda kawasan berkenaan. Foto: Agensi

KALIMANTAN - Kebakaran hutan dan tanah yang semakin serius di Kalimantan menyebabkan kawasan Ibu Kota Nusantara (IKN), bakal pusat pentadbiran baharu Indonesia, diselubungi jerebu tebal sehingga beberapa bangunan utama kerajaan hampir tidak kelihatan.

Menurut laporan detikKalimantan pada Khamis, asap tebal menyebabkan bangunan di Kawasan Teras Pusat Pemerintahan (KIPP), termasuk Istana Garuda, kediaman penjawat awam dan kompleks pejabat kerajaan kelihatan samar dari kejauhan.

Iklan
Iklan

Malah, Masjid Negara yang menjadi antara mercu tanda utama pembangunan IKN juga hampir tidak kelihatan akibat pencemaran tersebut.

Ketua Pihak Berkuasa IKN, Basuki Hadimuljono berkata, walaupun keadaan udara semakin membimbangkan, semua aktiviti pentadbiran kerajaan masih diteruskan seperti biasa.

Iklan

"Aktiviti masih berjalan seperti biasa. Saya sentiasa memantau keadaan ini, khususnya penggunaan pelitup muka," katanya menerusi kenyataan rasmi pada Khamis.

Menurut Basuki, keadaan jerebu paling ketara pada waktu pagi, namun kepekatannya dilaporkan sudah berkurangan berbanding hari sebelumnya.

Iklan

"Keadaannya paling terasa pada waktu pagi. Hari sebelumnya jauh lebih teruk daripada sekarang," katanya.

Berdasarkan data Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) Indonesia, bacaan pencemaran zarah halus PM2.5 di sekitar Plaza Bhinneka, IKN mencecah 121 pada jam 1 tengah waktu tempatan hari Khamis, sekali gus dikategorikan sebagai tidak sihat.

Basuki memaklumkan bacaan tersebut sebelum itu pernah mencapai paras 150.

"Kami akan terus memantau keadaan menggunakan alat pengesan yang ditempatkan di kawasan Taman Bhinneka Tunggal Ika," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pihak Berkuasa IKN sedang bekerjasama dengan Pangkalan Tentera Udara Dhomber dan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia bagi memperhebat operasi memadamkan kebakaran.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penggunaan helikopter untuk menggugurkan air dari udara bagi memadamkan kawasan terbakar.

Operasi pengubahsuaian cuaca turut dijalankan untuk merangsang hujan bagi membantu usaha pemadaman.

Bagaimanapun, Basuki mengakui keberkesanan operasi tersebut masih terhad berikutan kekurangan awan hujan di ruang udara IKN.

Pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk dan pekerja di sekitar kawasan berkenaan memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara. - Agensi