WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang merangka pelan serangan baharu terhadap Iran, termasuk kemungkinan menggunakan bom konvensional paling berkuasa miliknya yang digelar 'Ibu Segala Bom'.
Menurut laporan eksklusif CNN yang memetik beberapa pegawai AS, rancangan itu melibatkan penggunaan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast (MOAB) bagi menyasarkan infrastruktur tenaga dan kemudahan nuklear Iran sekiranya Presiden Donald Trump mengarahkan operasi ketenteraan disambung semula.
Serangan tersebut boleh dilaksanakan sebelum atau selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November depan, namun keputusan muktamad belum dibuat.
MOAB merupakan bom bukan nuklear terbesar dalam simpanan senjata AS dengan berat kira-kira 9,800 kilogram dan mempunyai kuasa letupan yang mampu memusnahkan kawasan luas.
Dalam wawancara bersama Newsmax pada Khamis, Trump turut mengulas mengenai senjata berkenaan.
"Ia langsung bukan nuklear. Ia cuma bom yang sangat besar, seperti bom nuklear kecil. Tetapi 'Ibu Segala Bom' itu bukan senjata nuklear," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa AS tidak perlu menggunakan senjata nuklear dalam konflik tersebut.
Menurut sumber CNN, antara sasaran yang sedang dipertimbangkan ialah kemudahan nuklear Pickaxe Mountain yang dipercayai menempatkan komponen program nuklear Iran.
Bagaimanapun, beberapa pegawai tentera mempersoalkan keberkesanan MOAB terhadap kemudahan yang dibina jauh di bawah tanah dan dilindungi lapisan batu granit.
Walaupun mampu menghasilkan letupan besar di permukaan, bom berkenaan tidak direka khusus untuk menembusi struktur bawah tanah yang sangat dalam.
Penggunaannya juga berpotensi meningkatkan risiko kematian orang awam sekiranya serangan dilakukan berhampiran kawasan berpenduduk.
Sumber yang mengetahui perbincangan ketenteraan itu berkata, penggunaan MOAB mungkin bertujuan memberikan tekanan psikologi terhadap Teheran ketika usaha diplomatik untuk menamatkan konflik masih menemui jalan buntu.
Pentadbiran Trump kini berdepan tekanan politik domestik susulan peperangan yang berlarutan lebih enam bulan serta kebimbangan pengundi terhadap kenaikan harga bahan api.
Dalam perkembangan berkaitan, penasihat Rumah Putih dilaporkan sedang meneliti beberapa pilihan ketenteraan yang membolehkan Washington menamatkan operasi sambil mengekalkan tekanan terhadap Iran.
Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah Putih enggan mengulas rancangan ketenteraan sulit yang mungkin sedang dipertimbangkan.
"Presiden Trump sentiasa memastikan semua pilihan tersedia bagi menjamin Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear," kata pegawai berkenaan.
MOAB pernah digunakan buat kali pertama dalam operasi ketenteraan AS pada 2017 ketika pentadbiran pertama Trump bagi menyerang rangkaian terowong kumpulan militan Daesh di Afghanistan.
Sekiranya digunakan terhadap Iran, tindakan itu dijangka menandakan peningkatan ketara dalam konflik yang masih belum mencapai penyelesaian diplomatik. - Agensi