Tiga murid, seorang guru maut ditembak di sekolah AS

Iklan
Orang ramai berkumpul di luar Sekolah Rendah Silver Rail di Bend, Oregon, susulan laporan kejadian tembakan di sekolah berkenaan. Foto: Agensi

WASHINGTON - Tiga kanak-kanak dan seorang guru maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah rendah di Bend, Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Kejadian di Sekolah Rendah Silver Rail itu turut mengorbankan suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditembak mati oleh seorang orang awam selepas memasuki bangunan sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan CBS News, tiga murid yang maut masing-masing berusia lima, lapan dan 11 tahun, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun serta guru berusia 54 tahun mengalami kecederaan kritikal.

Ketua Polis Bend, Mike Krantz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jam 1 tengah hari waktu tempatan daripada seorang individu yang mendakwa ditembak beberapa kali ketika berada di dalam kenderaan.

Iklan

Susulan itu, pusat kawalan kecemasan menerima puluhan panggilan yang melaporkan seorang lelaki bersenjata memasuki kawasan sekolah.

Menurut Krantz, suspek dipercayai menggunakan senjata api laras panjang dan melepaskan tembakan ke arah pintu berkunci untuk memasuki bangunan tersebut.

Iklan

Anggota polis tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit selepas panggilan kecemasan pertama diterima.

Bagaimanapun, suspek ditemukan sudah meninggal dunia selepas ditembak seorang penduduk yang melihatnya memasuki sekolah sebelum mengejar dan berdepan dengannya.

"Seorang anggota melaporkan bahawa suspek telah ditembak oleh seorang penduduk yang melihatnya memasuki sekolah, kemudian mengejar dan berdepan dengannya di dalam bangunan," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis malam.

Pasukan keselamatan kemudian memasuki sekolah dan menemukan empat mangsa yang disahkan meninggal dunia.

Dua mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke Pusat Perubatan St Charles untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Pihak berkuasa masih menyiasat motif serangan dan belum dapat memastikan sama ada suspek mempunyai hubungan dengan sekolah terbabit.

Identiti mangsa serta individu yang menembak suspek juga belum didedahkan kepada umum.

Sementara itu, semua murid dan kakitangan sekolah dipindahkan ke sebuah gereja berhampiran bagi membolehkan mereka bertemu semula dengan keluarga masing-masing.

Gabenor Oregon, Tina Kotek menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang amat menyedihkan sambil memuji keberanian individu yang bertindak menghentikan serangan berkenaan.

"Tiada ibu bapa sepatutnya melalui hari seperti ini dan tiada komuniti patut berdepan tragedi sedemikian," katanya.

Susulan kejadian tersebut, semua sekolah di daerah Bend-La Pine diarahkan membatalkan sesi persekolahan serta aktiviti sukan pada Jumaat.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bersama agensi penguatkuasaan lain turut membantu siasatan berhubung serangan tersebut. - Agensi