PEMBANGUNAN bakat automotif tempatan terus diperkukuh menerusi penaiktarafan sebuah pusat latihan automotif berteknologi tinggi yang bakal memberi tumpuan kepada pemindahan kepakaran dalam pembaikan kenderaan elektrik (EV) dan teknologi bateri voltan tinggi.
Pusat latihan berskala besar itu dibangunkan hasil kerjasama antara BMW Group Malaysia dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), sekali gus menjadi platform untuk melahirkan juruteknik tempatan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang pembaikan EV dan teknologi bateri voltan tinggi.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Raymond Tan Chor Ann berkata, kerja-kerja penaiktarafan pusat berkenaan sedang dijalankan, termasuk pemasangan peralatan moden yang diimport dari luar negara.
Menurut beliau, kemudahan tersebut akan menyediakan pendedahan kepada teknologi automotif terkini, sekali gus membolehkan kepakaran BMW disalurkan kepada tenaga kerja tempatan.
"Pusat latihan ini memang sudah wujud. Kini ia sedang dinaik taraf dengan teknologi BMW. Ini merupakan salah satu inisiatif BMW Group untuk memperluaskan perkongsian pengetahuan dan kepakaran teknikal kami serta memindahkan teknologi tersebut kepada industri dan graduan tempatan.
"Inisiatif ini akan membuka ruang kepada tenaga kerja tempatan untuk mempelajari teknologi automotif bertaraf dunia," katanya ketika ditemui di ruang pameran Selangor Techsphere Summit 2026 (STS 2026).
Pusat latihan berkenaan dijangka dilancarkan secara rasmi dalam tempoh beberapa minggu atau bulan akan datang.
Fasiliti yang terletak di Kuala Selangor itu merupakan kesinambungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak tahun lalu menerusi program BMW Next Generation Technician (BMW NextGT), yang bertujuan memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam industri automotif.
Raymond berkata, persediaan pelaksanaan program kini memasuki fasa latihan tenaga pengajar apabila tiga tenaga pengajar STDC telah selesai menjalani latihan di pusat latihan BMW.
Katanya, langkah itu membolehkan kepakaran yang diperoleh disampaikan kepada kumpulan pertama pelatih yang akan diambil menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri.
"Pada asasnya, kami mahu melahirkan generasi juruteknik baharu untuk negara ini.
"Kami mahu memastikan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang pembaikan EV serta teknologi bateri voltan tinggi dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan kerana saya percaya Malaysia mempunyai bakat yang diperlukan," katanya.
Raymond menambah, kandungan latihan akan merangkumi teknologi EV terkini, termasuk teknologi yang digunakan pada model BMW Neue Klasse dengan bateri generasi keenam (Gen 6).
Menurut beliau, pendedahan kepada teknologi tersebut penting bagi memastikan juruteknik tempatan bersedia untuk menyelenggara dan membaiki kenderaan yang semakin canggih dari segi keupayaan teknikal.