RIYADH – Arab Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh selepas kedua-duanya didapati bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral di dalam sebuah masjid di Makkah.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kenyataan yang disiarkan Agensi Akhbar Saudi (SPA) mengenal pasti kedua-dua individu itu sebagai Nazrul Islam Abdul Basir dan Siti Akhtar.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa keselamatan menahan pasangan berkenaan selepas mereka didakwa melakukan perbuatan yang disifatkan sebagai tidak bermoral di dalam sebuah masjid di kota suci berkenaan.
Siasatan kemudian dijalankan sebelum kedua-duanya didakwa dan dibawa ke mahkamah.
Mahkamah mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman mati berdasarkan prinsip ta'zir, iaitu hukuman yang ditentukan oleh pihak berkuasa kehakiman mengikut undang-undang Islam.
Kementerian itu menjelaskan hukuman berkenaan dijatuhkan berdasarkan keseriusan kesalahan, pencabulan kesucian masjid serta keadaan ketika perbuatan itu dilakukan.
Keputusan mahkamah kemudiannya dimuktamadkan selepas dikekalkan oleh pihak kehakiman yang berkenaan, sebelum perintah diraja dikeluarkan bagi membolehkan hukuman mati dilaksanakan.
Hukuman terhadap kedua-dua warga Bangladesh itu dilaksanakan pada Rabu, 14 Oktober 2026 di wilayah Makkah.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Dalam Negeri menegaskan komitmen kerajaan Arab Saudi untuk memelihara keselamatan, menegakkan keadilan serta menguatkuasakan undang-undang Islam terhadap individu yang mencemarkan kesucian masjid.
Kementerian itu turut memberi amaran bahawa sesiapa yang melakukan kesalahan seumpama itu akan berdepan hukuman mengikut undang-undang negara berkenaan. - Agensi