DI media-media sosial, rakyat sudah mula bertanya tentang status sebenar jerebu di negara ini.
Ramai menunjukkan alat penapis udara di rumah masing-masing mengeluarkan amaran udara yang tidak sihat.
Ada juga yang mula mempersoalkan tentang perbezaan antara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi dengan Air Quality Index (AQI).
Berdasarkan komen-komen di media sosial, ada yang menjelaskan terdapat perbezaan dari sudut tempoh dan lokasi data diambil serta piawaian digunakan.
Pada masa ini agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memantau IPU ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang akan mengeluarkan data dari semasa ke semasa mengenai situasi jerebu.
Namun dalam zaman media sosial yang begitu pantas ini, JAS sepatutnya lebih proaktif untuk menjawab kekeliruan rakyat tentang situasi semasa.
Adakah alat pengukuran IPU ini berada pada standard yang baik atau boleh dipercayai kesahihannya?
Bagaimana pula dengan fungsi dan standard alat penapis udara yang digunakan di kebanyakan rumah di negara ini ?
Kalau kita imbas masa lalu, Malaysia pernah mengalami situasi jerebu paling teruk dalam sejarah iaitu pada 1997 apabila Sarawak mencatatkan bacaan IPU mencecah 839.
Jarak penglihatan terjejas teruk iaitu sehingga 100–200 meter, mengakibatkan penerbangan terpaksa dibatalkan dan sektor perniagaan serta sekolah diarahkan tutup.
Pada 2005 bacaan IPU di Lembah Klang merekodkan angka melebihi 500 di beberapa kawasan dan pada 2015 menyebabkan penutupan sekolah berulang kali di seluruh negara.
Tetapi sekarang sudah jauh berbeza daripada kerana dengan adanya media sosial, orang ramai sudah mula mempersoalkan banyak perkara.
Walaupun jerebu berlaku setiap tahun dan kerajaan sudah ada prosedur operasi standard namun itu tidak sepatutnya menjadikan kita terlalu tenang untuk menghadapi situasi yang serius pada masa ini.
Oleh yang demikian, akhbar ini mendesak supaya agensi yang terlibat tampil untuk membuat penerangan tentang persoalan-persoalan yang ditimbulkan rakyat.