JAMBI - Seorang wanita di Indonesia disyaki menetak suaminya menggunakan parang sehingga mangsa memerlukan kira-kira 50 jahitan pada leher selepas pertengkaran yang berpunca daripada pertukaran gambar profil media sosial.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Desa Mampu Baru, daerah Merangin, Jambi kira-kira jam 11 malam waktu tempatan pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Tribun Jambi, suspek yang dikenali sebagai M didakwa menyerang suaminya, H selepas kedua-duanya bertengkar mengenai gambar profil akaun media sosial masing-masing.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Merangin, Asisten Komisioner Eka Putra Yuliesman Koto berkata, pertengkaran bermula apabila mangsa mempersoalkan tindakan isterinya yang tidak menggunakan gambar mereka bersama sebagai gambar profil.
Suspek kemudian menukar gambar profilnya kepada gambar pasangan itu seperti yang diminta suaminya.
Bagaimanapun, mangsa pula didakwa menukar gambar profilnya kepada gambar dirinya sendiri, sekali gus mencetuskan pertengkaran baharu.
"Mangsa menukar semula gambar profil media sosial kepada gambar dirinya sendiri dan perkara itu diketahui suspek sebelum mereka bertengkar," katanya.
Menurut polis, pertengkaran berlanjutan apabila suspek dipercayai mengambil sebilah parang dari bahagian belakang rumah sebelum menyerang mangsa yang berada di ruang tengah.
Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius pada leher sebelah kiri dan tangan kanan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada leher sebelah kiri sehingga memerlukan kira-kira 50 jahitan,” katanya.
Suspek kemudian ditahan polis tanpa melakukan sebarang perlawanan.
Siasatan turut mendapati pasangan berkenaan baru menjalani perkahwinan secara agama yang tidak didaftarkan secara rasmi sejak kira-kira 11 bulan lalu.
Dalam pada itu, suspek mendakwa pernah mengalami keganasan rumah tangga dan sering menerima kata-kata kesat daripada suaminya.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih dalam siasatan polis dan belum disahkan.
Suspek kini disiasat mengikut Pasal 466 ayat (2) Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan. - Agensi