SHAH ALAM - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang disandang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dijangka diserahkan kepada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Perkembangan itu menyusul selepas seorang sumber dalaman Pas mendakwa Barisan Nasional (BN) bersetuju memberi laluan kepada Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Memetik laporan The Star, sumber itu mengesahkan Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin akan bertanding di DUN Merlimau.
“Ya, benar Ustaz Tuan Zulkifli ialah calon bagi Merlimau. Tunggu 31 Oktober untuk penamaan calon,” katanya ketika dihubungi The Star pada Khamis.
Sumber itu turut mendakwa, Muhamad Akmal bersetuju dengan keputusan BN untuk memberi laluan kepada Pas di kerusi dimenanginya pada PRN Melaka 2021 itu.
Pada Rabu, Muhamad Akmal memberi bayangan kemungkinan meninggalkan Merlimau menerusi satu hantaran di Facebook dengan mengucapkan terima kasih kepada pengundi di kawasan itu.
Beliau kemudiannya meminta pandangan mengenai kerusi yang sesuai ditandinginya pada PRN akan datang.
Pada 2021, Muhamad Akmal memenangi kerusi Merlimau dengan memperoleh 5,633 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi, serta calon Perikatan Nasional (PN), Abd Alim Shapie dengan 1,622 undi.
Kemenangan itu menyaksikan beliau memperoleh majoriti 3,248 undi.
Berdasarkan analisis data pengundian daripada electiondata.my, sokongan terhadap BN di Merlimau menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merosot kepada 39 peratus, manakala PN mencatatkan sokongan sebanyak 30 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, gabungan sokongan BN dan PN di Merlimau serta dua kawasan yang disebut Muhamad Akmal, iaitu Serkam dan Sungai Rambai, melebihi 50 peratus berdasarkan analisis berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.