SHAH ALAM – Seramai 13 ahli dan pemimpin akar umbi DAP menyelar kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang melabel Syaikh Ali Juma’ah sebagai ulama jahat atau ulama suu.
Dalam kenyataan bersama, mereka berpandangan label sedemikian merupakan penilaian berat dan tidak wajar dijadikan senjata politik.
Menurut mereka, perbezaan pendirian politik seseorang tokoh tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan kepakaran serta sumbangannya dalam bidang ilmu Islam, khususnya berkaitan pemahaman tradisi Islam.
"Kontroversi politik beliau di Mesir boleh dibahaskan kerana ia merupakan ijtihad politik yang terkait dengan konteks ketika itu tetapi penilaian terhadap kepakaran ilmunya perlu dibuat secara adil dan objektif," katanya.
Kenyataan bersama dikeluarkan Ahli DAP Cawangan Alam Jaya, Edry Faizal; Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq dan Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh, Abdul Majid Abd Aziz.
Turut menandatangani kenyataan itu, Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli; Ahli DAP Cawangan Kampung Baru Batu 9 Cheras, Shukri Mokhtar; ahli DAP Taman Kemuncak, Muhammad Najib Anuar dan Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1,Mohd Aslam Ahmad Ramli.
Nama lain, Ahli DAP Taman Kemuncak, Muhammad Muzamir Abdul Rahman; ahli DAP Bandar Baru Bangi; Muhammad Nurhadi; Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak, Izzul Afiq; Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir dan Azfar Faruqi Mohamad Idris dari DAP Cawangan Taman Seroja.
Mereka turut berpandangan, perbezaan politik tidak seharusnya menyebabkan seseorang mudah menghukum ulama yang tidak sehaluan dengannya.
Menurut akar umbi, perjuangan Islam bukan hanya melalui politik kepartian, malah merangkumi pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan khazanah keilmuan Islam.
"Kami menyeru agar isu ini dibahaskan secara matang dan beradab. Nilailah ilmu berdasarkan ilmu dan kemukakan kritikan dengan hujah, bukan sekadar gelaran yang merendahkan," tegasnya.
Mereka turut mengingatkan sentimen politik tidak seharusnya mengatasi keadilan dalam menilai ilmu dan ulama, walaupun berbeza politik.