Jerebu: Rakyat Indonesia gesa Malaysia, Singapura saman Jakarta

Iklan
Keadaan jerebu yang masih tidak membaik membuatkan segelintir rakyat Indonesia mahukan negara jiran memberi lebih tekanan kepada Jakarta. Foto Agensi

JAKARTA - Sebahagian rakyat Indonesia menggesa Malaysia dan Singapura mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Indonesia susulan kegagalan yang didakwa dalam menangani kebakaran hutan dan tanah sehingga menyebabkan krisis jerebu berpanjangan di rantau ini.

Desakan itu muncul ketika pencemaran udara semakin buruk di Kalimantan Tengah, dengan penduduk terpaksa berdepan asap tebal yang menjejaskan kesihatan dan kehidupan harian.

Iklan
Iklan

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) pada Khamis, sebahagian rakyat Indonesia turut menggesa kerajaan asing mengenakan sekatan terhadap Jakarta bagi meningkatkan tekanan supaya tindakan lebih berkesan diambil.

Seorang penduduk Kalimantan Tengah, Kristaen Albert, 31, berkata, keadaan udara yang semakin tercemar memaksanya menyediakan kira-kira 12 tin oksigen di kediamannya untuk membantu pernafasan.

Iklan

Jurutera perisian itu mendakwa kesihatannya semakin terjejas setiap kali keluar rumah, selain mengalami kesukaran memberikan tumpuan ketika bekerja.

"Pernafasan saya menjadi semakin berat setiap kali berada di luar rumah. Sukar untuk menumpukan perhatian dan keadaan ini benar-benar menjejaskan pekerjaan saya.

Iklan

Albert turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan yang disifatkannya terlalu perlahan dalam menangani kebakaran hutan.

"Tindakan kerajaan terhadap kebakaran yang memusnahkan ini sangat perlahan. Secara terus terang, kami marah," katanya.

Kemarahan tersebut turut dikongsi pengguna media sosial yang mahu negara jiran, khususnya Malaysia dan Singapura, meningkatkan tekanan terhadap Jakarta.

Krisis kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sejak beberapa bulan lalu menyebabkan pencemaran jerebu merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di beberapa negara Asia Tenggara.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk Kalimantan Barat sebelum ini turut memfailkan saman terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan beberapa pegawai kerajaan atas dakwaan kecuaian menangani kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun, sebarang tindakan undang-undang oleh Malaysia atau Singapura terhadap kerajaan Indonesia berdepan cabaran dari segi bidang kuasa serta keperluan membuktikan tanggungjawab terhadap pencemaran rentas sempadan.

Singapura pula sedang mempertimbangkan tindakan mengikut undang-undang domestiknya terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu. - Agensi