JAKARTA - Sambaran petir dan gangguan kelawar pada rangkaian elektrik dikenal pasti sebagai antara kemungkinan punca gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang melanda Batam, Kepulauan Riau, Indonesia pada Isnin lalu.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, laporan awal menunjukkan beberapa masalah teknikal pada sistem bekalan elektrik termasuk gangguan akibat cuaca dan haiwan yang dipercayai terkena peralatan elektrik.
Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor teknikal yang sedang diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.
"Terdapat beberapa masalah teknikal di wilayah Batam. Ada rangkaian elektrik yang mengalami gangguan akibat petir berdasarkan laporan yang kami terima.
"Dari segi teknikal, terdapat tiga faktor. Salah satunya dikatakan membabitkan haiwan, mungkin kelawar atau haiwan lain yang terkena rangkaian elektrik," katanya kepada pemberita di Istana Presiden, Jakarta pada Rabu.
Menurut laporan Tempo, gangguan elektrik yang bermula kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan pada 12 Oktober itu menyebabkan sebahagian besar kawasan Batam dan sekitarnya terputus bekalan.
Gangguan selama lebih 15 jam tersebut menjejaskan aktiviti harian penduduk termasuk urusan perniagaan, komunikasi, pengangkutan serta bekalan air bersih dan sambungan internet.
Bahlil berkata, kejadian berkenaan menunjukkan keperluan meningkatkan pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan sistem bekalan elektrik bagi mengelakkan gangguan serupa berulang.
"Kita perlu melaksanakan pembaikan dengan lebih intensif supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan akan diadakan bersama syarikat utiliti elektrik, PT PLN (Persero), bagi meneliti langkah penambahbaikan serta kemungkinan pemberian pampasan kepada pengguna yang terjejas.
Menurutnya, PLN lebih mengetahui keadaan teknikal sebenar di lapangan dan perlu menilai kesan gangguan sebelum sebarang keputusan berkaitan pampasan dibuat.
Sementara itu, PLN Batam dilaporkan telah memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik selepas menjalankan kerja pembaikan dan pemulihan secara berperingkat.
Sepanjang operasi tersebut, pasukan teknikal memberikan keutamaan kepada kemudahan penting termasuk hospital, lapangan terbang, pelabuhan dan perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, punca sebenar gangguan masih memerlukan pengesahan teknikal lanjut, khususnya dakwaan kemungkinan kelawar menjadi antara faktor yang menyebabkan sistem elektrik terjejas. - Agensi