WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa pada lewat Rabu bahawa perang dengan Iran akan berakhir tidak lama lagi, sambil meramalkan harga minyak akan turun sebaik sahaja konflik itu tamat, lapor Anadolu Ajansi.
"Perang dengan Iran akan berakhir tidak lama lagi...tidak lama lagi, memandangkan mereka (Iran) sendiri mahukannya berakhir," kata Trump kepada pemberita di Montana.
"Mereka tidak akan sesekali memiliki senjata nuklear dan harga minyak akan jatuh menjunam."
Terdahulu, ketika berucap dalam satu perhimpunan di Montana, Trump menyuarakan ketidakpastian mengenai pihak mana dalam kalangan pegawai Iran yang sedang berunding dengan AS ketika Washington berusaha untuk menamatkan konflik tersebut.
Presiden itu turut menyifatkan Iran sebagai sebuah kuasa ketenteraan yang dahulunya dominan di Asia Barat sambil menekankan bahawa operasi ketenteraan AS telah melemahkan keupayaan negara tersebut dengan ketara.
"Iran dahulunya pembuli di Asia Barat," katanya, menambah bahawa negara itu kini tidak lagi sekuat dahulu.
Trump mendakwa serangan AS telah memusnahkan armada tentera laut Iran dan menyebabkan pesawat tentera mereka tidak boleh digunakan lagi. - Bernama-Anadolu