JELI – Malaysia menyasarkan peluasan pasaran eksport sawit ke Afrika dengan Kenya dikenal pasti sebagai pintu masuk utama ke pasaran benua itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Afrika menjadi antara tumpuan baharu kementerian selain usaha meningkatkan permintaan di India, yang merupakan pasaran utama sawit Malaysia.
Menurutnya, Kenya ialah antara empat pasaran yang menjadi fokus perdagangan sawit negara selain India, Kesatuan Eropah (EU) dan China.
“Kenya adalah pintu masuk kepada Afrika dan insya-ALLAH misi perdagangan akan dilaksanakan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Industri Asas Tani 2026 (AGX’26) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Noraini berkata, kementerian turut memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran sawit bagi meningkatkan nilai tambah industri berkenaan selain memperluas pasaran eksport.
“Selain itu, sasaran kami adalah meningkatkan permintaan di India dan juga produk hiliran kerana nilai tambah yang sangat banyak,” katanya.
Tambah beliau, usaha meneroka pasaran baharu itu selari dengan kepentingan industri sawit negara.
“Malaysia akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dan mengenal pasti peluang baharu bagi memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa,” katanya.