BERA - Polis mengesan seorang lelaki kerana disyaki terlibat mendatangkan kecederaan ke atas seorang individu dan melakukan khianat terhadap kenderaan milik syarikat pemaju dalam kejadian di Kampung Kuala Serting di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berpunca akibat pertikaian tanah antara penduduk dengan pemaju yang berlaku di kawasan terbabit baru-baru ini.
Menurutnya, suspek dipercayai menaiki motosikal jenis Modenas GT128 berwarna hitam perak bertindak memecahkan cermin pintu dan cermin sisi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik sebuah syarikat yang diletakkan di tepi jalan.
"Suspek juga didakwa menumbuk bahu seorang lelaki yang berada di tempat kejadian serta memaki- hamun dengan kata- kata kesat," katanya.
Zulkiflee berkata, pengadu mendakwa suspek bertindak mengetuk cermin Hilux dan mendekatinya yang ketika itu berada dalam kenderaan tersebut sambil memaki hamun.
Katanya, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dari tempat kejadian dan meninggalkan motosikal yang digunakan.
Beliau berkata, kes itu telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan melakukan khianat terhadap harta benda.
"Polis kini berusaha mengesan suspek terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil ke mana- mana balai Polis yang berhampiran.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan melangkaui batasan undang- undang dan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam," ujarnya.