FORMULA Satu (F1) berpotensi kembali mewarnai Litar Antarabangsa Sepang (SIC) secara tetap apabila kerajaan dijangka memuktamadkan penilaian kebolehlaksanaan penganjuran perlumbaan berprestij itu menjelang November ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penilaian tersebut merangkumi kos penganjuran, unjuran pulangan ekonomi serta keberkesanan pelaburan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Penganjuran F1 bukan sesuatu yang murah kerana ia melibatkan kos yang agak besar. Beberapa perkara perlu dinilai termasuk tahap kebolehlaksanaan dari segi impak ekonomi kepada negara, meskipun penganjuran sebelum ini dianggarkan menjana pulangan sekitar RM950 juta.
“Terdapat perbincangan awal antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Pegawai Eksekutif serta pihak pengurusan F1 berhubung perkara ini.
“Terdapat juga cadangan supaya perlumbaan itu dianjurkan secara berkala setiap beberapa tahun dengan kerjasama negara lain,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan F1 kembali dianjurkan di Malaysia serta pertimbangan kerajaan sebelum membuat keputusan berhubung penganjurannya.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini menjadi lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober lalu.
Penganjuran tersebut menyaksikan F1 kembali ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan kali terakhir perlumbaan itu diadakan di Malaysia pada 2017.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah diberi mandat menganggotai Jawatankuasa Penilaian F1 yang turut membabitkan beberapa kementerian lain serta Ketua Setiausaha Negara bagi menilai kos dan pulangan pelaburan (ROI).
Menurut beliau, penilaian itu penting bagi memastikan manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 dapat dirasai oleh pelbagai sektor termasuk pelancongan, perhotelan, pengangkutan, peruncitan dan industri sokongan lain.
“Penilaian tersebut sedang dilaksanakan dan menjelang November nanti, laporan lengkap akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan sama ada F1 perlu dibawa semula ke Malaysia atau sebaliknya.
“Kita ingin memastikan penganjuran F1 tidak menjejaskan pembangunan sukan serta atlet negara,” katanya.