LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo asing selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran di perairan Perak, Selasa lalu.
Kejadian jam 4 petang itu melibatkan kapal jenis bulk carrier di kedudukan kira-kira 23.4 batu nautika barat daya Tanjung Lumba-Lumba.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob berkata, kapal berkenaan dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan oleh Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk pemeriksaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan negara.
"Susulan pemeriksaan itu, tiga kru terdiri daripada seorang warga Rusia berusia 34 tahun dan dua warga Myanmar masing-masing berusia 33 dan 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dokumen berkaitan kapal turut disita untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan mengikut ordinan berkenaan.
Dalam kejadian berasingan, Maritim Malaysia turut menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kira-kira jam 9.55 pagi Rabu selepas disyaki melanggar undang-undang perikanan di perairan berhampiran muara Sungai Burung.
Mohd Shukri berkata, vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira dua batu nautika barat laut muara Sungai Burung ketika bot ronda Maritim Malaysia menjalankan operasi penguatkuasaan.
"Pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia berusia 56 tahun.
"Tekong ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985, manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh pemantauan menerusi rondaan aset dan sistem pengawasan bagi memastikan keselamatan pelayaran, ketertiban aktiviti maritim serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.
"Setiap vesel yang beroperasi, memasuki atau berada di perairan Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.