KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen kerajaan menggesa agar peruntukan sama rata diberikan kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata, perkara itu perlu ditunaikan selari dengan prinsip yang dipegang ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
“Saya mahu cakap buat kali kelima dalam
Dewan ini. Bagilah peruntukan sama rata kepada semua ahli- ahli Parlimen bah. Saya bangkit hari ini sebagai ahli Parlimen kerajaan.
“Semasa kita jadi pembangkang dahulu, kita lah terpaling suruh kerajaan untuk jadi adil bagi peruntukan sama rata kepada semua.
“Kali ini waktu kita pegang kuasa, kenapa pula kita nafikan hak mereka? Hak rakyat mereka? Berhenti bah kita jadi kerajaan yang mematikan peruntukan kepada pembangkang konon supaya rakyat tak undi sama dia dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Menurut Isnaraissah Munirah, semua reformasi termasuk pemberian peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen itu perlu dilakukan oleh kerajaan hari ini.
“Sewaktu kita jadi kerajaan inilah, kita lakukan semua reformasi yang kita mahu,” katanya.
Jelasnya, kerajaan perlu menjadi ‘orang yang sama’ dengan prinsip sama tanpa mengira kedudukan yang dipegang.