Trump umum rancangan penerokaan minyak, gas dan mineral di Greenland

Iklan
Donald Trump - Foto: AFP

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu berkata rancangan sedang diatur untuk memulakan aktiviti penerokaan minyak, gas dan mineral secara besar-besaran di Greenland, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Penerokaan minyak, gas dan mineral secara besar-besaran bakal bermula di Greenland baharu kami yang indah!" tulis Trump menerusi platformTruth Social, ketika harga tenaga dunia terus berada pada paras tinggi selepas lebih tujuh bulan perang di Iran.

Iklan
Iklan

Beliau turut mendakwa bahawa sesetengah pakar percaya Greenland memiliki antara rizab minyak terbesar di dunia yang mudah diakses, namun tidak memberikan butiran mengenai anggaran rizab atau aktiviti penerokaan yang dirancang.

Trump turut menyifatkan kedudukan strategik Greenland sebagai faktor penting dalam usaha mempertahankan AS dan Eropah daripada sebarang ancaman serangan pada masa depan.

Iklan

"Sebarang serangan terhadap Amerika Syarikat pada masa depan perlu melalui Greenland, tempat sistem pertahanan kami akan secara rutin memintas dron, peluru berpandu atau apa-apa jenis senjata lain yang mungkin belum pernah dibayangkan.

"Greenland memberikan kami kelebihan dari segi masa, kedudukan dan jarak penglihatan yang tiada tandingannya di tempat lain di dunia!" kata Trump.

Iklan

Kenyataan itu menyusuli perjanjian yang dimeterai pada September antara Washington, Denmark dan Greenland untuk memperluas kehadiran tentera AS di pulau terbesar dunia itu, termasuk penambahan pangkalan tentera dan keupayaan pertahanan peluru berpandu.

Walaupun Trump merujuk Greenland sebagai"Greenland baharu kami", pulau itu kekal sebagai wilayah berautonomi di bawah Denmark, dengan perjanjian berkenaan mengiktiraf kedaulatan Denmark serta hak rakyat Greenland untuk menentukan nasib sendiri.

Greenland menghentikan pengeluaran lesen baharu bagi penerokaan minyak dan gas pada 2021 susulan kebimbangan terhadap alam sekitar dan perubahan iklim, namun lesen yang diluluskan sebelum itu masih sah. - Bernama