IPOH - Buli siber mungkin tidak meninggalkan kesan luka pada tubuh, namun memberi kesan emosi dan kesihatan mental berpanjangan kepada mangsa sehingga cenderung mengasingkan diri, hilang keyakinan serta berisiko mencederakan diri sendiri.
Pegawai Kaunseling Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ipoh, Rahilah Abd Rahim berkata, sepanjang pengalaman hampir 16 tahun sebagai kaunselor, beliau pernah mengendalikan hampir 20 kes yang mempunyai kaitan dengan buli siber.
Menurutnya, antara kes paling memberi kesan ialah apabila seorang remaja menjadi mangsa selepas rakaman video melakukan aktiviti sosial yang negatif disebarkan tanpa konteks sebenar sehingga tular dalam kalangan rakan dan pengetahuan sekolah.
"Dalam satu kes, mangsa mencederakan bahagian paha kerana tidak mahu ibu bapanya mengetahui perbuatannya. Keadaan itu hanya disedari selepas ibu bapanya melihat kesan kecederaan sebelum membawanya mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rahilah, buli siber yang meninggalkan kesan tidak luaran menyebabkan mangsa memendam penderitaan dalam tempoh lebih lama.
"Antara tanda yang boleh diperhatikan ialah perubahan sikap seperti daripada seorang yang ceria menjadi pendiam, suka menyendiri atau tiba-tiba agresif.
"Prestasi pembelajaran juga boleh merosot kerana mereka hilang fokus dan takut berhadapan dengan orang lain,” katanya.
Rahilah turut menyarankan keluarga meluangkan masa melakukan aktiviti bersama seperti bersukan, bersenam atau menyertai program kemasyarakatan bagi membantu anak kembali membina keyakinan diri.
"Jangan biarkan anak menghadapi masalah seorang diri. Jadilah pendengar mereka kerana sokongan ibu bapa boleh membantu proses pemulihan.
"Jika tidak mampu berkongsi dengan keluarga, jangan takut mendapatkan bantuan daripada kaunselor, pakar atau talian bantuan seperti HEAL 15555,” katanya.