Dua individu termasuk pegawai kanan agensi kerajaan ditahan kes rasuah RM15,000

Iklan
Dua individu termasuk pegawai kanan sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari untuk siasatan SPRM. Foto: SPRM

KUALA LUMPUR - Dua individu masing-masing membabitkan pegawai kanan sebuah agensi kerajaan dan pengarah syarikat ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pembekalan di agensi kerajaan tersebut.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Reman tujuh hari sehingga 19 Oktober terhadap mereka dikeluarkan Majistret Aliaa Anwar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023.

Iklan

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Iklan