MELAKA - Penutupan sementara semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka diteruskan esok berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) masih pada tahap tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dalam kenyataan memaklumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan itu mengikut garis panduan yang ditetapkan KPM.
Guru dan anggota kumpulan pelaksana juga dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.
Maklumat dan arahan lanjut berkaitan kedua-dua pentaksiran dan peperiksaan itu boleh dirujuk menerusi laman Facebook rasmi JPN Melaka.
JPN Melaka turut menasihatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya supaya memantau bacaan IPU di daerah masing-masing menerusi Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.
Jabatan itu memaklumkan langkah berkenaan penting bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga institusi pendidikan sentiasa terpelihara. - Bernama