JAKARTA – Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso, menyifatkan seruan memboikot produk makanan dan minuman dari negara itu yang beroperasi di Malaysia sebagai tindakan sementara.
Beliau berkata, pihaknya telah berkomunikasi dengan Atase Perdagangan dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia bagi mendapatkan maklumat berhubung isu berkenaan.
Iklan
Iklan
“Ini mungkin hanya berlaku buat sementara waktu. Kami sudah berkomunikasi dengan Atase Perdagangan dan wakil KBRI. Tiada masalah, semuanya baik-baik sahaja,” katanya di Hotel Bidakara, Jakarta Selatan, pada Khamis.
Seruan boikot itu tercetus selepas seorang pengguna Threads, berkongsi senarai jenama makanan dan minuman milik Indonesia yang beroperasi di Malaysia serta mengajak orang ramai memboikot produk berkenaan.
Menurut laporan detikFinance, pengguna berkenaan menjelaskan bahawa seruan itu bukan berpunca daripada isu kekalahan dalam perlawanan bola sepak, sebaliknya dikaitkan dengan dakwaan terdapat hantaran media sosial yang menghina Raja Malaysia dan bekas pemimpin negara.
Pengguna itu mendakwa tindakan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia, sambil menyatakan bahawa kesabaran mereka ada batasnya.
Budi berkata, berdasarkan komunikasi dengan perwakilan Indonesia di Malaysia, isu itu tidak menimbulkan masalah besar terhadap hubungan perdagangan kedua-dua negara. - Agensi