GOMBAK – Janin bayi yang dianggarkan berusia 24 minggu ditemukan di kawasan pembuangan sampah di Jalan OS 1/4, One Selayang, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada pukul 7.20 malam.
Iklan
Iklan
“Polis telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat kejadian berkenaan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang secara sulit mayat kanak-kanak, sama ada kanak-kanak itu mati sebelum, semasa atau selepas dilahirkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ibrahim berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerusi talian 03-6126 2222 atau pegawai penyiasat, Inspektor S. Prakash di talian 012-294 0827,” katanya.