Bekas Pegawai Penerangan dijel 12 bulan, denda RM73,600 kemuka tuntutan palsu 

Iklan
Seorang pesara kerajaan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM73,600 selepas didapati bersalah mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi butiran matan palsu. Gambar hiasan

KENINGAU - Seorang pesara kerajaan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM73,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan dan minuman sempena Sukan SAGA IX Keningau, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Jaffar Matamin, 62, didapati bersalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Iklan
Iklan

Menurut pertuduhan, Jaffar yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Keningau telah mengemukakan dokumen tuntutan bagi pembekalan makanan dan minuman kepada petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Keningau pada 18 Februari 2020.

Tuntutan berkenaan adalah bagi pembekalan makanan dan minuman sepanjang penganjuran Sukan SAGA IX Keningau 2019 yang berlangsung dari 5 hingga 13 Disember 2019.

Iklan

Bagaimanapun, dokumen tuntutan bernilai RM14,720 bagi pembekalan sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang itu mengandungi butiran matan palsu apabila makanan dan minuman berkenaan sebenarnya tidak dibekalkan sepenuhnya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Nur Ashikin Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan berkuat kuasa dari tarikh sabitan pada 9 Oktober lalu.

Iklan

Tertuduh turut dikenakan denda RM73,600 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada firma M.S Shah & Associates.