ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang disyaki menyamar sebagai pegawai polis India dalam serbuan di Bandar Putra, Kulim, pada Jumaat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, seramai 48 individu ditahan yang disyaki berperanan sebagai ahli sindiket, melibatkan tujuh warga tempatan, lapan warga India dan 33 warga Pakistan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket tersebut mula beroperasi pada penghujung Ogos lalu di sebuah premis kedai tiga tingkat dengan menyasarkan mangsa dari India.
“Di lokasi serbuan, mereka membina set dan melakukan siaran secara langsung menerusi Telegram untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka benar-benar pegawai penguat kuasa.
“Semua operator dibekalkan skrip yang antaranya mendakwa mereka daripada Central Bureau of Investigation (CBI) dan sedang menjalankan siasatan terhadap mangsa.
“Mangsa kemudian diminta memindahkan wang ke akaun yang diberikan dan wang tersebut akan lesap. Sindiket ini berjaya memperdayakan 73 mangsa warga India dengan jumlah kerugian mencecah 33 juta rupee, bersamaan kira-kira RM1.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Isnin.
Menurut Adzli, siasatan terhadap ahli sindiket berusia antara 20 hingga 43 tahun itu mendapati mereka ditawarkan pekerjaan menerusi media sosial sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dan dijanjikan gaji sekitar RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati kesemua warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk skrip penipuan dalam bahasa Inggeris, 89 telefon bimbit, komputer riba, modem, monitor, tiga helai seragam polis India, bendera India, bendera Central Bureau of Investigation (CBI) India serta beberapa barangan lain.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM70,000.
Dalam pada itu, Adzli berkata, tangkapan susulan dibuat pada pukul 6 petang Ahad membabitkan dua lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 44 hingga 51 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pemilik premis, ejen hartanah dan penyewa premis berkenaan.
Kesemua mereka ditahan di sekitar Kulim dan Tanjung Piandang, Perak.
Semakan mendapati kelima-lima individu yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.