KLIA uji kesiapsiagaan kecemasan menerusi Ex Perisai Panthera

Iklan
Latihan Kecemasan Aerodrom Ex Perisai Panthera 2026 berskala penuh akan diadakan di Landasan 2, KLIA Rabu ini. Foto : Agensi.

 

SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan melaksanakan Latihan Kecemasan Aerodrom Ex Perisai Panthera 2026 berskala penuh di Landasan 2, Rabu ini.

Iklan
Iklan

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan latihan bermula jam 8 pagi hingga 2 petang itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KLIA memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

"Latihan berskala penuh itu akan menguji keupayaan tindak balas, pematuhan terhadap tempoh masa yang ditetapkan serta keberkesanan koordinasi antara pasukan terlibat.

Iklan

"Ia akan dilaksanakan bersama agensi keselamatan dan kecemasan negara serta rakan strategik, selaras dengan Pelan Kecemasan Aerodrom KUL (KUL AEP) dan piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, latihan berkenaan turut melibatkan penggunaan jentera bomba, helikopter, asap simulasi dan siren.

Iklan

"Aktiviti tersebut mungkin dapat dilihat atau didengar dari sekitar Anjung Spotter dan Jalan Pekeliling.

"Semua pergerakan dan aktiviti tersebut telah dirancang dan dikawal sebagai sebahagian daripada latihan, dan orang awam dinasihatkan supaya tidak bimbang," jelas agensi itu.

MAHB memberi jaminan perasi penerbangan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 dijangka berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan berkaitan operasi lapangan terbang akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi KLIA.

 

END