KUALA LUMPUR - Seorang buruh binaan yang sebelum ini berdepan pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin kerana melarikan dan mengurung lelaki terbabit di sebuah chalet, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Edy Ko'im Said, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin itu.
Mahkamah memerintahkan bapa kepada tiga anak itu menjalani hukuman pemenjaraan bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, Edy Ko'im didakwa melarikan secara paksa mangsa berusia 31 tahun dengan niat hendak mengurungnya secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi di sini, pada jam 10.40 malam, 28 September 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Berdasarkan fakta kes, warga Palestin berkenaan dilarikan sebelum dikurung di sebuah chalet di Hulu Langat, Selangor sebelum diselamatkan polis dalam satu serbuan berpandukan maklumat risikan dan menjumpai mangsa dengan keadaan tangan serta kakinya diikat menggunakan pengikat kabel.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa sebelum ini tertuduh didakwa atas pertuduhan menculik, namun representasinya diterima dan pertuduhan pilihan ditawarkan terhadapnya.
"Pihak kami mohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara yang sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius," katanya.
Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili Edy Ko'im memohon hukuman penjara minimum kerana anak guamnya perlu menyara isteri serta tiga anak.
Sementara itu, kes culik mangsa sama yang dihadapi tujuh lagi tertuduh iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45, Mohamad Naziree Mustapha, 45, Faizull Hardey Mohd Isa, 46, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31, Mohd Zaidi Mohd Zain, 60, Nidarahayu Zainal, 40, Raibafie Amdan, 45 diteruskan dengan perbicaraan pada Isnin.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama menahan mangsa di lokasi dan waktu yang sama untuk mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kelapan-lapan individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain kes culik, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai melebihi RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pada 10 Julai 2025, enam lelaki iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 46, Mohd Azwan Jamaludin, 42, Dody Junaidi, 47, Mohamad Sufian Saly, 28, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54 dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, dipenjara lima tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana melarikan dan mengurung mangsa yang sama. - Bernama