PARIT BUNTAR - Sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sah yang disyaki menggunakan peralatan menangkap ikan terlarang, bubu naga ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Pasir Hitam, Kuala Kurau di sini pada Ahad.
Dalam operasi kira-kira jam 10.50 pagi itu, tiga kru warga Myanmar turut ditahan selepas tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot fiber itu tidak mempunyai nombor pendaftaran sah dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu naga.
"Pemeriksaan lanjut terhadap tiga kru warga Myanmar pula mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, bot fiber bersama ketiga-tiga kru dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan serta Akta Imigresen 1959/63 berkaitan dokumen pengenalan diri dan permit kerja," katanya.
Mohd Hairil berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang, penggunaan peralatan tangkapan terlarang serta pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.