432 pelajar terima insentif RM166,000

Iklan
Manndzri menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang menerusi Program Semarak Pendidikan Parlimen Tenggara 2026. Foto RISDA

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seramai 432 pelajar cemerlang dari Parlimen Tenggara menerima insentif pendidikan berjumlah RM166,000 sebagai dorongan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, pemberian itu merangkumi dua kategori utama iaitu Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Insentif Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 225 pelajar cemerlang SPM menerima RM76,100, manakala 207 pelajar yang melanjutkan pengajian ke IPT menerima RM89,900.

“Bagi kategori SPM, insentif diberikan mengikut gred pencapaian bermula daripada RM250 bagi keputusan 5A sehingga RM550 bagi keputusan 11A.

Iklan

Sumbangan itu disampaikan sempena Program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara 2026 anjuran Parlimen Tenggara dan RISDA di Dewan Serbaguna, Taman Kota Jaya di sini.

Turut hadir, Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan RISDA, Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim; Pengarah RISDA Negeri Johor, Muhd Khairuddahri Abd Rahman; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Azman Safii dan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Abd Rahman Salleh.

Iklan

Manndzri berkata, program sejak empat tahun lalu itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan, meringankan beban ibu bapa serta meningkatkan sahsiah dan motivasi pelajar.

Katanya, peningkatan jumlah penerima insentif setiap tahun membuktikan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) RISDA bersama Parlimen Tenggara memberikan kesan positif.

“Justeru, kita mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak demi membangunkan bakat-bakat baharu menerusi aspek pendidikan dan akademik di Parlimen Tenggara,” katanya.

Intan Amirah Afiqah (kiri) dan Nurul Atiqah Nazwin.

Sementara itu, seorang pelajar IPT, Intan Amirah Afiqah Abdullah, 18, berkata, sumbangan itu amat membantu untuk membeli barang keperluan menjelang peperiksaan akhir semester.

“Insentif ini memberi semangat kepada pelajar lain untuk memberikan yang terbaik dalam akademik,” katanya.

Bagi pelajar, Nurul Atiqah Nazwin Abdullah, 18, sumbangan amat bermakna dan boleh digunakan untuk membeli barang keperluan bagi memasuki universiti.

“Alhamdulillah, ia dapat meringankan bebanan keluarga dan saya akan memanfaatkan sumbangan sebaik mungkin,” ujarnya.