Jangan biar harimau Malaya 'mengekori' badak Sumatera

Iklan
Harimau Malaya antara spesies paling terancam apabila populasinya di habitat liar dianggarkan hanya sekitar 150 ekor. Foto hiasan

SAMBUTAN Hari Haiwan Sedunia pada 4 Oktober lalu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya peringatan tentang tanggungjawab manusia melindungi hidupan liar yang semakin terancam.

Di Malaysia, ancaman kepupusan semakin membimbangkan akibat kemusnahan habitat, pemburuan haram dan pembangunan tidak terkawal.

Iklan
Iklan

Harimau Malaya antara spesies paling terancam apabila populasinya di habitat liar dianggarkan hanya sekitar 150 ekor.

Tapir Malaya pula dianggarkan berbaki kurang 500 ekor, manakala populasi seladang antara 270 hingga 470 ekor.

Iklan

Di perairan negara, dugong turut berdepan ancaman kepupusan dengan jumlah dianggarkan kurang 100 ekor.

Angka ini cukup menggambarkan betapa seriusnya ancaman terhadap khazanah biodiversiti negara.

Iklan

Di Sabah, gajah pygmy terus berdepan tekanan akibat kehilangan habitat serta konflik dengan manusia.

Hakikatnya, setiap spesies haiwan mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Harimau membantu mengawal populasi haiwan mangsa, manakala tapir menyebarkan biji benih bagi membantu pertumbuhan semula hutan.

Dugong pula membantu mengekalkan kelangsungan padang rumput laut, sementara penyu menyumbang kepada keseimbangan ekosistem marin.

Justeru, keterancaman haiwan ini bukan sekadar menjejaskan biodiversiti, malah memberi kesan kepada kesejahteraan manusia.

Kita tidak seharusnya menunggu sehingga haiwan berkenaan hanya tinggal nama seperti Iman iaitu badak sumbu Sumatera terakhir dan telah diisytiharkan pupus di Malaysia pada 23 November 2019.

Dunia juga telah menyaksikan kepupusan burung dodo di Mauritius pada akhir abad ke-17 serta quagga, sub spesies kuda belang di Afrika Selatan yang pupus pada 1883.

Kedua-duanya menjadi bukti bahawa kepupusan merupakan kehilangan kekal yang tidak mungkin dipulihkan.

Persoalannya, adakah kita mahu menunggu sehingga harimau Malaya yang menjadi lambang pada Jata Negara, tapir, beruang matahari dan orang utan hanya dikenali melalui gambar serta buku sejarah?

Hari Haiwan Sedunia sepatutnya menjadi platform meningkatkan kesedaran bahawa haiwan bukan sekadar tarikan pelancongan atau bahan pameran.

Sebaliknya, haiwan merupakan pelengkap ekosistem yang turut menyokong bekalan makanan, sumber air bersih dan kelangsungan kehidupan manusia.

Oleh itu, pendidikan mengenai kepentingan hidupan liar perlu diperkukuh sejak bangku sekolah melalui kempen kesedaran dan aktiviti pemuliharaan.

Masyarakat juga perlu menolak pembelian produk berasaskan hidupan liar yang dilindungi, kegiatan pemburuan haram serta perbuatan mengganggu habitat haiwan.

Pada masa sama, kerajaan perlu memperketat penguatkuasaan, melindungi kawasan hutan dan memastikan pembangunan tidak mengancam habitat hidupan liar.

Pembinaan lintasan hidupan liar, pemulihan habitat serta pemantauan populasi juga perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan konflik manusia dengan haiwan.

Sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan pula boleh membantu melalui pembiayaan penyelidikan, pendidikan serta program pemuliharaan berterusan.

Sambutan Hari Haiwan Sedunia tidak seharusnya terhenti selepas kempen sehari, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan sepanjang tahun.

Generasi muda khususnya perlu memahami bahawa melindungi haiwan bermakna memelihara keseimbangan alam demi masa depan mereka sendiri.

Malaysia masih berpeluang menyelamatkan spesies terancam sekiranya usaha pemuliharaan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.

Jangan sampai kegagalan bertindak hari ini menyebabkan generasi akan datang hanya mengenali khazanah hidupan liar negara melalui catatan sejarah.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah sub editor Sinar Harian