ALOR GAJAH - Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 18 Oktober, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata, senarai calon dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Lokasi pengumuman akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita pada program Jalinan MADANI Rider Jelajah Melaka yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim di sini hari ini.
Berhubung khabar angin beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Azman berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata, PKR mensasarkan untuk bertanding di tujuh atau lapan kerusi pada PRN itu, antaranya kerusi DUN Machap Jaya dan Rembia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober, undi awal 10 November dan hari mengundi pada 14 November, selepas DUN dibubarkan berkuat kuasa 23 September.
PRN Melaka pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi manakala PH (lima kerusi) dan Perikatan Nasional (dua kerusi). - Bernama