Isu 'lighad': Al-Quran tidak wajar dipersenda - Zulkifli

Iklan
Dr Zulkifli Hasan - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan kesucian al-Quran sebagai sumber utama ajaran Islam hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara.

Beliau berkata, sebarang tindakan yang memperolok-olokkan atau menghina lafaz suci al-Quran merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.

Iklan
Iklan

Berhubung isu tular yang mengaitkan perkataan lighad daripada ayat 18 Surah al-Hasyr, Zulkifli berkata, perkataan itu membawa maksud"hari esok” dan dalam konteks ayat, merujuk kepada persediaan manusia untuk kehidupan akhirat.

"Lafaz ini mempunyai makna tersendiri dalam al-Quran dan tidak wajar diputarbelitkan atau dijadikan bahan sindiran yang mengaitkannya dengan perkataan lain sehingga menimbulkan penghinaan terhadap agama.

Iklan

"Sehubungan itu, semua pihak hendaklah memahami makna dan konteks sebenar ayat al-Quran serta mengelakkan sebarang bentuk persendaan terhadap lafaz sucinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, sikap saling menghormati dan bertanggungjawab dalam berkomunikasi amat penting bagi memelihara kesucian agama serta keharmonian masyarakat berbilang agama.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya terdapat unsur penghinaan terhadap agama Islam, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Penggunaan perkataan lighad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat dipersoal seorang pempengaruh media sosial yang turut mengaitkannya secara sinis dengan perkataan lain.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang mengesan individu terbabit bagi merakam percakapan. - Bernama