Bajet RM260 juta, NADMA tambah baik kelengkapan agensi hadapi bencana

Iklan
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan BKN Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad. Foto: Bernama

IPOH - Kelengkapan dan penyediaan peralatan bagi menghadapi bencana akan terus diperkukuh menerusi peruntukan RM260 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tahun 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peralatan seperti bot, pam air dan mesin penapisan air antara keperluan yang perlu diberi perhatian bagi membantu operasi menyelamat serta menangani gangguan bekalan air ketika bencana.

Iklan
Iklan

"Sebab kita tahu, jabatan-jabatan yang membantu kita, umpamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mereka tidak ada peralatan mencukupi.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.

Iklan

Program bertemakan Madani Siaga, Tanggungjawab Bersama itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menyasarkan penambahan penyediaan pusat pemindahan kekal di setiap negeri, tahun depan.

Iklan

Menurutnya, pembinaan itu akan diberi keutamaan di kawasan titik hitam banjir yang kerap dilanda bencana serta merekodkan jumlah mangsa pemindahan yang tinggi.

"Ketetapan kita adalah dua pusat bagi setiap negeri, tetapi insya-ALLAH tahun depan dengan penambahan peruntukan itu, kita akan tambahkan mengikut keperluan," katanya.

Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, kerajaan mengumumkan dana RM260 juta kepada NADMA sebagai persiapan menghadapi bencana selain bersetuju meningkatkan kadar bantuan pembaikan rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA berkata, kesiapsiagaan awal dan koordinasi berkesan antara kementerian, jabatan, agensi, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting bagi mengurangkan risiko dan impak bencana.

Menurutnya, penyelarasan turut dilaksanakan menerusi jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan tindakan lebih tersusun sebelum bencana berlaku.

"Mekanisme pengurusan ini membolehkan bantuan disalurkan lebih awal kepada mangsa, selain membantu mengurangkan risiko kehilangan dan kerosakan harta benda.

"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kerugian akibat bencana pada 2025 berjumlah RM636.9 juta, menurun berbanding RM933.4 juta pada 2024," katanya.