PERBINCANGAN mengenai zakat ke atas simpanan persaraan terus mendapat perhatian, khususnya mengenai pendekatan yang boleh diambil untuk membantu pencarum menunaikan kewajipan tersebut dengan lebih teratur dan jelas.
Dalam konteks Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perkara itu turut mendapat perhatian susulan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September 2024.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berpandangan, pendekatan zakat perniagaan bagi Simpanan Shariah wajar dilihat sebagai satu kaedah yang dapat membantu ahli menunaikan kewajipan zakat dengan lebih teratur.
“Pendekatan sedemikian juga dapat memberikan lebih kejelasan kepada pencarum berhubung tanggungjawab zakat mereka, terutama apabila melibatkan simpanan yang diurus dan dilaburkan secara kolektif bagi tujuan persaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pendekatan secara institusi boleh membantu pencarum menunaikan kewajipan zakat dengan lebih teratur, di samping mengurangkan kemungkinan berlakunya kekeliruan atau tunggakan pada masa hadapan.
“Usaha memudahkan urusan zakat juga penting dalam memastikan tanggungjawab terhadap zakat dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus memelihara hak golongan asnaf,” katanya.
Sementara itu, pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berpandangan bahawa perbincangan mengenai zakat perniagaan dalam konteks Simpanan Shariah perlu mengambil kira struktur pelaburan dan akad Wakalah yang tersendiri.
Menurut beliau, sebarang pelaksanaan perlu mengambil kira kaedah taksiran, kadar, tempoh penilaian serta kaedah pembayaran yang selaras dengan ketetapan pihak berkuasa zakat negeri.
“Perkara tersebut penting bagi memastikan sebarang pendekatan berkaitan zakat bukan sahaja mudah difahami oleh pencarum tetapi turut mengambil kira aspek hukum serta bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Bagi Ketua Strategi dan Risiko Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Razli Ramli pula berkata, pengalaman institusi seperti Lembaga Tabung Haji boleh dijadikan antara rujukan dalam melihat bagaimana urusan zakat dapat dipermudahkan secara institusi.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan yang digunakan perlu mengambil kira sifat dan tujuan KWSP sebagai sebuah dana persaraan.
“Penyelarasan juga penting kerana urusan zakat berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, penerangan yang jelas kepada pencarum amat penting bagi memastikan masyarakat memahami asas hukum, rasional serta pendekatan zakat yang berkaitan dengan Simpanan Shariah.