Tiada skandal rasuah sepanjang pentadbiran Aminuddin - Anthony Loke

Iklan
Anthony Loke dan Aminuddin pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan merekodkan pencapaian yang membanggakan apabila tiada skandal rasuah direkodkan terhadap kerajaan Negeri Sembilan sepanjang lapan tahun pentadbiran di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, justeru itu, parti berkenaan akan terus menyokong Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit untuk terus menerajui PH di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

Malah, katanya, pelbagai pencapaian direkodkan sepanjang pentadbiran PH di bawah kepimpinan Aminuddin termasuk dari segi peningkatan rizab, pembangunan, infrastruktur dan pelaburan.

"Satu perkara yang paling penting yang patut kita banggakan ialah lapan tahun kita (PH) berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, lapan tahun beliau (Aminuddin) menjadi Menteri Besar, tidak ada apa-apa skandal rasuah yang membelenggu pentadbiran ini.

Iklan

Menurutnya, Aminuddin telah melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar dengan sebaik-baiknya, selaras dengan matlamat parti untuk membawa perubahan dan reformasi.

Ahli Parlimen Seremban itu turut merakamkan penghargaan kepada Aminuddin atas sumbangannya terhadap pembangunan Negeri Sembilan.

Iklan

"Jadi Datuk Seri Aminuddin Harun, kita senang susah bersama. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

"Kita (DAP) nak nyatakan sokongan kita yang tidak berbelah bahagi untuk beliau terus menerajui PH Negeri Sembilan kerana integriti beliau telah pun diuji dan terbukti. Ini sesuatu yang sangat penting kepada DAP," katanya.

Untuk rekod, Aminuddin dilantik sebagai Pengerusi PH Negeri Sembilan sejak tahun 2017 dan merupakan Menteri Besar pertama daripada PH.

Namun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, Aminuddin yang pertama kali bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tewas dalam pertembungan tiga penjuru.