LABUAN - Beting pasir di Pulau Kuraman, Labuan diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai beting pasir terpanjang di Malaysia dengan ukuran sepanjang 808.4 meter.
Dikenali sebagai Lidah Pasir dalam kalangan penduduk tempatan, kawasan itu turut diiktiraf sebagai beting pasir terdedah sepanjang 790.4 meter.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmin Mohd Zain berkata, pengiktirafan itu membuka peluang kepada kawasan berkenaan untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan baharu di pulau itu.
"JWP merancang untuk membangunkan pulau ini bersama Perbadanan Labuan menerusi konsep pelancongan berasaskan komuniti dengan melibatkan penduduk kampung dalam usaha memelihara keindahan semula jadinya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas aktiviti gotong-rotong sempena program Bersih Setiap Tempat (Best) di Pulau Kuraman di sini pada Sabtu.
Pulau Kuraman berkeluasan 363 ekar merupakan antara 11 geopark di Labuan dan dianggarkan berusia 35 juta tahun.
Ia terletak berdekatan Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil yang turut mempunyai pengusaha chalet.
Muhammad Azmin berkata, JWP memberikan tempoh sebulan kepada Perbadanan Labuan untuk memulakan kerja-kerja pembangunan dengan kerjasama 27 kampung di sekitar Labuan.
"Jabatan akan menyediakan dana bagi usaha ini dan setiap kampung akan membina gazebo untuk kemudahan pengunjung beristirahat dan menjalankan aktiviti.
“Kalau kita tengok tadi, kayu-kayu itu kita boleh guna sebagai bangku. Kita tak nak ada struktur yang besar yang merosakkan keindahan beting pasir,” jelas beliau.