Agenda Belanjawan Madani 2027 perlu diterjemah di peringkat negeri - Keadilan Terengganu

Iklan
Keadilan Terengganu berharap Belanjawan Madani 2027yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Foto kecil: Aiman

​KUALA TERENGGANU - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Terengganu menyambut baik pembentangan Belanjawan Madani 2027 yang memberi tumpuan kepada pembangunan negeri ini, terutamanya menerusi sektor ekopelancongan, infrastruktur asas, pendidikan serta pemuliharaan alam sekitar.

​Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan berpotensi besar dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan merancakkan ekonomi setempat.

Iklan
Iklan

Katanya, ​antara yang mendapat perhatian termasuklah usaha menaik taraf destinasi ekopelancongan utama seperti Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong.

​"Keadilan Terengganu berharap agar inisiatif Kerajaan Persekutuan ini dapat disambut dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu, supaya setiap usaha pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada rakyat dan ekonomi negeri," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

​Dalam perkembangan sama, Keadilan Terengganu turut menantikan pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu 2027 sebagai platform strategik untuk memperkukuh agenda pembangunan secara lebih menyeluruh.

​Jelas beliau, fokus perlu diberikan kepada usaha mempelbagaikan struktur ekonomi negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi, serta membangunkan industri yang mampu menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Iklan

​"Pembangunan infrastruktur dan pengembangan sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan usaha membina ekosistem ekonomi yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran, meningkatkan produktiviti dan membuka laluan kerjaya yang lebih luas kepada anak muda tempatan.

​"Usaha ini penting agar potensi dan bakat anak muda Terengganu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, tanpa mereka perlu meninggalkan negeri semata-mata untuk mendapatkan peluang kerjaya yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka," ujarnya.

​Dalam pada itu, katanya MPN Keadilan Terengganu percaya bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, yang disokong oleh hala tuju ekonomi jelas serta berorientasikan masa depan, mampu memperkukuh daya saing negeri ini.

​"Matlamat kita bukan sekadar membangunkan Terengganu, tetapi memastikan pembangunan itu turut membina ekonomi yang lebih pelbagai, menarik pelaburan berkualiti dan menyediakan masa depan yang lebih cerah untuk anak muda negeri ini," ujarnya.