SEPANG - Bakal jemaah haji diingatkan supaya memastikan pakej yang ditawarkan menggunakan visa haji sah dan saluran yang diiktiraf bagi mengelakkan risiko penipuan serta masalah ketika berada di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, bakal jemaah perlu membuat semakan teliti sebelum memilih pakej dan melakukan sebarang pembayaran.
“Bakal jemaah perlu memastikan segala urusan perjalanan dibuat melalui saluran yang sah dan diiktiraf bagi mengelakkan risiko penipuan serta masalah ketika berada di Tanah Suci.
“TH tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat lain sebagai ejen bagi menawarkan pakej haji melainkan 34 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan,” katanya.
Peringatan itu selari dengan penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Kelima (KHUP5) yang membuka peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pelbagai pakej haji bagi musim 1448H/2027M.
Karnival anjuran TH dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) Malaysia itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, di sini.
Bertemakan ‘Tiada Visa, Tiada Haji’, KHUP5 turut memberi penekanan terhadap kepentingan penggunaan visa haji yang sah bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran perjalanan jemaah terpelihara.
Mustakim turut menasihatkan bakal jemaah supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi TH dan PJH berlesen sebelum membuat keputusan berkaitan perjalanan ibadah berkenaan.
Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, KHUP5 menjadi platform sehenti untuk orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pakej haji, umrah dan pelancongan Islamik.
Menurutnya, penganjuran edisi kelima itu menerima sambutan menggalakkan menerusi penggunaan platform digital bagi memudahkan orang ramai mengakses maklumat berkaitan pakej yang ditawarkan.
“Platform digital KHUP5 telah merekodkan lebih 52,230 muat turun bahan digital di laman sesawang rasmi, terdiri daripada e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M dan Majalah KHUP5, selain menerima lebih 862 prapendaftaran secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan digital itu menjadi antara penambahbaikan pada edisi kali ini, dengan kerjasama PJH mempromosikan pakej masing-masing menerusi media sosial turut membantu meluaskan capaian maklumat kepada bakal jemaah.
Selain pameran dan promosi pakej, pengunjung turut disajikan pelbagai aktiviti pendidikan, kekeluargaan dan hiburan sepanjang tiga hari penganjuran.
Antara pengisian disediakan ialah bual bicara, Simulasi Haji Cilik, pertandingan mewarna kanak-kanak serta persembahan kumpulan nasyid The Rayhan dan Rabbani, selain Ezad Lazim.
Karnival itu turut menampilkan kemunculan istimewa BoBoiBoy menerusi kuiz interaktif dan cabutan bertuah, selain bazar yang menawarkan pelbagai makanan, minuman serta barangan berkaitan haji dan umrah.
Enam institusi perbankan Islam dan rakan strategik sektor kesihatan turut mengambil bahagian dengan menawarkan perkhidmatan termasuk penyelesaian kewangan patuh syariah, pengurusan harta, perlindungan perjalanan, pengurusan harta pusaka dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Pengunjung juga boleh mengunjungi Galeri Haji di lokasi sama bagi menelusuri perkembangan pengurusan haji di Malaysia serta memahami manasik ibadah berkenaan menerusi koleksi artifak, pameran interaktif dan tayangan video.
Maklumat lanjut mengenai KHUP5 dan e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi khupmalaysia.com serta media sosial KHUP5.