DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) mencapai penyelesaian secara baik dengan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund) dan pihak berkaitannya bagi menamatkan semua pertikaian pemegang saham membabitkan SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra).
Perkembangan tersebut menamatkan semua prosiding timbang tara dan litigasi yang masih tertunggak antara kedua-dua pihak selaku pemegang saham SilTerra.
Penyelesaian berkenaan juga dicapai atas dasar persetujuan bersama tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan tanpa sebarang bayaran pampasan, kecuali pembayaran balik kos berkaitan perundangan antara pihak-pihak terlibat.
Ia turut direkodkan sebagai perintah persetujuan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2026.
Menurut DNeX, penyelesaian tersebut mengekalkan struktur pegangan saham sedia ada dan menamatkan pertikaian antara pemegang saham berkenaan.
Sepanjang tempoh pertikaian, operasi SilTerra tidak pernah terganggu sepenuhnya, tanpa sebarang kesan terhadap urusan perniagaan harian, komitmen kepada pelanggan, tenaga kerja dan kerjasama strategiknya.
Dengan kedua-dua pemegang saham kini mempunyai kesepakatan yang kukuh mengenai hala tuju jangka panjang SilTerra, DNeX dapat memberikan tumpuan kepada usaha menyokong perkembangan berterusan syarikat itu, berasaskan keupayaan teknologinya yang mantap dan kedudukannya sebagai syarikat foundri semikonduktor yang relevan di peringkat global.
Usaha itu termasuk meningkatkan bahagian pasaran dalam bidang strategik seperti fotonik silikon (silicon photonics), iaitu teknologi penting yang menjadi asas kepada ekosistem pusat data kecerdasan buatan (AI) masa kini serta infrastruktur AI generasi akan datang.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DNeX, Vinie Chong Pui Ling berkata, DNeX dan CGP Fund kekal sehaluan dalam komitmen mereka terhadap SilTerra dan fasa pertumbuhan seterusnya, termasuk melalui suntikan modal tambahan sekiranya diperlukan.
"Ketika AI mempercepat permintaan terhadap semikonduktor termaju dan sambungan optik berkelajuan tinggi, SilTerra berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini, khususnya menerusi keupayaan fotonik silikon serta kerjasama dalam teknologi saling sambung optik generasi akan datang.
"Dengan pemegang saham yang sehaluan, pasukan pengurusan berpengalaman dan agenda pertumbuhan yang jelas, aspirasi kami adalah untuk SilTerra terus membina kekuatan berasaskan akar umbinya di Malaysia serta memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem semikonduktor global," katanya dalam kenyataan.