Ibu Zara Qairina tidak percaya anak melompat

Iklan
Noraidah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak melihat sebarang tanda tekanan pada Zara Qairina sebelum kejadian.

KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir menegaskan di Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau tidak percaya anaknya melompat dari tingkat tiga bangunan sekolah.

Noraidah Lamat, 46, berkata, beliau tidak melihat sebarang tanda tekanan pada Zara Qairina sebelum kejadian, berdasarkan tingkah laku dan perwatakan anaknya yang dilihat masih ceria seperti kebiasaan.

Iklan
Iklan

"Saya tidak percaya," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ram Singh pada prosiding inkues kematian Zara Qairina pada Jumaat.

Sebelum itu, Ram membangkitkan keterangan pakar yang menyatakan Zara Qairina tidak ditolak dan kemungkinan terjun secara sukarela, sebelum meminta Noraidah memberikan pandangannya mengenai kemungkinan berkenaan.

Iklan

Ketika ditanya mengenai keterangannya dalam pernyataan saksi bahawa Zara Qairina tidak pernah menunjukkan tanda tekanan sebelum kejadian, Noraidah tidak bersetuju dengan kemungkinan anaknya mengalami tekanan tanpa memperlihatkannya kepada beliau.

"Tidak. Saya tidak setuju Zara mempunyai tekanan. Kerana tingkah laku dan perwatakan Zara adalah normal seperti kebiasaan yang saya lihat, ceria, menghiburkan keluarga dan masih bercerita," katanya.

Iklan

Noraidah menjelaskan bahawa keterangannya mengenai keadaan Zara Qairina sebelum kejadian merujuk kepada 13 dan 14 Julai, termasuk ketika anaknya menghubunginya melalui telefon.

"Maksud ‘sebelum kejadian’ ini saya merujuk pada 13 haribulan dan juga  Ahad ya, 14 haribulan semasa Zara menelefon saya.

"Jadi saya tidak ada melihat tanda-tanda Zara tertekan. Cara Zara menelefon saya, cara percakapan adalah sama seperti apa yang terakam dalam handphone saya," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengapa Zara Qairina membuat keputusan untuk melompat sekiranya tidak mengalami tekanan, Noraidah berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

"Itu saya tidak tahu. Tetapi bagi saya, saya tidak percaya Zara melompat," katanya.

Ketika peguam bertanya sama ada beliau bermaksud ada individu lain yang menolak anaknya, Noraidah menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud demikian kerana masih tidak mendapat maklumat jelas mengenai kejadian itu daripada pihak sekolah dan polis penyiasat.

"Saya tidak bermaksud demikian kerana saya sendiri pun tidak mendapat maklumat yang jelas daripada pihak sekolah dan juga polis penyiasat," katanya.