Operasi imigresen Tambak Johor dipendekkan

Iklan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan mengambil keputusan untuk mengehadkan operasi Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi-agensi berkaitan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Laluan Kedua) berkuatkuasa Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masa operasi di Bangunan Sultan Iskandar dipendekkan daripada 24 jam sebelum ini kepada 7 pagi hingga 7 petang bagi pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori serta kargo.

Iklan
Iklan

"Bagi Kompleks Sultan Abu Bakar, operasi berjalan seperti biasa iaitu 24 jam termasuk kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

"Ini supaya kes-kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, ramai yang melahirkan rasa bimbang dengan kemasukan besar-besaran rakyat Malaysia dari Singapura tetapi perkara tersebut setakat hari ini tidak berlaku.

"Saya ingin maklumkan daripada laporan imigresen, kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura masih belum berlaku. Berdasarkan jumlah kemasukan hanya sekitar 400 orang.

Iklan

"Sebagai contoh pada 18 April lalu, 648 orang tetapi 17 April turun kepada 246 orang. Pada 18 April turun menjadi 245 orang, 19 April naik kepada 604 orang dan 20 April menjadi 297 orang," katanya.

Jelasnya, sehingga kini kerajaan telah menyediakan 6,000 bilik bagi tujuan kuarantin wajib di 22 pusat kuarantin.

"Setakat ini sudah ada mereka yang dikuarantin wajib telah tamat tempoh kuarantin mereka dan dibenarkan pulang. Berdasarkan kepada mereka yang tamat kuarantin dan kepulangan daripada dalam kadar sekitar 350 orang sehari dari Singapura, kita masih mampu," katanya.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) telah diarahkan untuk menambah 4,000 lagi bilik kuarantin bukan sahaja di Johor tetapi bandar berdekatan termasuk Melaka.

"Ia bagi persediaan sekiranya berlaku kepulangan besar-besaran rakyat kita dari Singapura," katanya.