GEORGE TOWN – Pemilik kenderaan warga tempatan dikesan menyewakan motosikal kepada warga asing pada kadar serendah RM200 sebulan termasuk kepada individu yang tidak mempunyai lesen memandu sah.
Perkara itu terbongkar menerusi Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula jam 5 pagi Jumaat di sekitar bandaraya ini bagi mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan pemandu warga asing.
Dalam operasi itu, sebanyak 694 kenderaan diperiksa dengan 74 daripadanya disita manakala 258 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen dengan sebanyak 158 tindakan diambil manakala 50 lagi melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh.
Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati kenderaan milik warga tempatan yang disewakan kepada warga asing selain kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama rakyat tempatan bagi membolehkan warga asing memilikinya.
“Kadar sewaan berbeza-beza dan ada yang mencecah sekitar RM200 sebulan,” katanya selepas Operasi PeWA di Ibu Pejabat JPJ Batu Uban di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua 74 kenderaan yang disita dalam operasi itu membabitkan pemandu warga asing dengan tindakan berkenaan diambil bagi menghentikan kesalahan daripada terus berlaku.
Tambahnya, penyitaan dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) apabila kesalahan dikesan khususnya membabitkan individu yang memandu tanpa lesen sah.
“Sebagai contoh, apabila pemandu warga asing menunggang motosikal tanpa lesen, kita perlu menyita kenderaan itu bagi menghentikan kesalahan berkenaan daripada berterusan.
“Jika tidak disita, mereka mungkin terus menggunakan motosikal itu walaupun tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Dalam operasi sama, beliau berkata, pihaknya turut mengesan seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan awal 30-an yang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan dan baru membeli motosikal atas namanya sendiri tiga hari sebelum ditahan.
Bagaimanapun katanya, lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu menyebabkan motosikal berkenaan disita.
Mengulas mengenai pemilikan kenderaan oleh warga asing, beliau menjelaskan undang-undang sedia ada tidak mensyaratkan seseorang memiliki lesen memandu untuk mendaftarkan kenderaan atas nama sendiri.
Jelasnya, keadaan itu bukan hanya terpakai kepada warga asing, malah rakyat tempatan yang tidak mempunyai lesen memandu juga dibenarkan memiliki kenderaan.
“Walaupun tidak mempunyai lesen memandu, seseorang masih boleh memiliki kenderaan tetapi tidak boleh memandunya di jalan raya tanpa lesen yang sah,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati kenderaan tersebut mempunyai cukai jalan sah manakala sebahagian lagi tidak memperbaharui LKM masing-masing.
Sehubungan itu, sebanyak 50 tindakan saman dikeluarkan bagi kesalahan LKM tamat tempoh dalam operasi berkenaan.
"Kebanyakan warga asing yang diperiksa bekerja sebagai pekerja kontrak dan pekerja kilang, dengan mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar.
"Antara alasan diberikan ialah keperluan menggunakan motosikal sebagai pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat kerja," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan mendapatkan pengangkutan bagi urusan pekerjaan tidak mengecualikan mana-mana individu daripada mematuhi undang-undang jalan raya.
Dalam pada itu, Zulkifly mengingatkan majikan, pemilik kenderaan dan pihak yang bertanggungjawab menguruskan pemandu warga asing supaya memastikan individu yang dibenarkan memandu mempunyai kelayakan serta dokumen yang sah.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil dan profesional tanpa mengira kewarganegaraan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
“Jangan semata-mata mengejar kepentingan atau keuntungan sehingga mengabaikan aspek keselamatan jalan raya. Orang ramai khususnya warga tempatan dinasihatkan supaya tidak menyewakan atau meminjamkan kenderaan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu dan dokumen sah bagi mengelakkan risiko kemalangan jalan raya.
"Langkah itu penting memandangkan tindakan membenarkan warga asing tanpa kelayakan sah memandu kenderaan boleh mengundang pelbagai risiko termasuk membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Sehubungan itu, warga tempatan diminta lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah perkara berkenaan kerana sebarang kemalangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan pemandu terbabit malah turut mengancam keselamatan pihak ketiga yang tidak bersalah," ujarnya.